Hati Seorang Ibu, Bila Anak Sakit

You are currently viewing Hati Seorang Ibu, Bila Anak Sakit

Hati seorang ibu bila anak sakit hanya Allah yang tahu. Memang betul saya pernah alaminya juga. Sambil tunggu ambil anak dari sekolah terkenang anakku ini yang sekarang dah pun bersekolah. Tapi sejarah kesihatannya begitu menduga. Tak sangka alhamdulillah kini sihat sejahtera.

Memang dulu saya seorang ibu yang bekerja. Dan setelah mendapat anak pertama pastinya banyak pengalaman kita belum lagi tahu semuanya. Pendek kata ilmu parenting pun cetek, ilmu breastfeeding apatah lagi memang takde,  ilmu atau petua nak bagi anak terhindar dari sakit pun agak terhad. Masa ni mungkin juga salah satu faktor adalah kerana antibodinya tak cukup kuat. Maklumlah saya susukan dia hanya pada waktu berpantang sahaja, selepas masuk kerja terus bagi susu botol. Susu ibu kan satu-satunya susu yang ada mengandungi antibodi untuk bayi. Jadi bila kehilangan susu ibu nampaknya anak saya tidak berapa kuat melawan penyakit.
Banyak kali juga dia akan demam, boleh kata dalam sebulan pasti akan kena demam. Dan pasti juga akan masuk wad disebabkan demam melampau. Jadi nak taknak memang orang kata pasrah dah masa tu. Cuti pun banyak habis. Anak tak juga dapat perhatian sewajarnya.  Bila tengok anak masuk hospital, hati ibu ni hanya Allah sahaja yang tahu. Tambah lagi biasanya dia akan dicucuk untuk drip kan. Tak sanggup sebenarnya berulang kalo begitu. Bila fikir balik sekarang memang mampu mengundang kesedihan. Kemuncaknya adalah bila sampai anak ini terkena sawan/fits. Disebabkan demam panas yang keterlaluan.

cara atasi anak sakit

Demam panasnya yang keterlaluan agak menghairankan kerana semasa dihantar ke nursery elok je tanpa demam. Sikit pun takde panas badannya. Tapi bila petang dapat call dari pihak nursery anak sudah tidak respon. Cerita selanjutnya boleh tengok cerita kekejaman nursery.

Apa yang saya nampak zaman sekarang ni ramai ibu dan sudah tentu bergelar isteri terpaksa bekerja. Hidup zaman ni tak sama lagi macam dahulu yang mana kos pelbagai dah meningkat. Kalau dulu suami sahaja bekerja dan ibu berada di rumah untuk jaga keluarga adalah perkara biasa. Namun sekarang kos pelbagai yang memaksa kita semua bekerja! Tetapi..tunggu dulu…Saya rasa fenomena ni mula sedikit demi sedikit berubah. Sudah ramai juga ibu-ibu sekarang bekerja dari rumah. Fenomena yang tidak berapa asing lagi, sebab kebanyakan ibu tidak hanya duduk sahaja di rumah tetapi membuat bisnes yang menjana pendapatan. Beza memang berbeza. Yelah dah biasa bekerja, kadang-kadang ada juga perkara yang kita rasa kena buat jugak. Tak boleh nak duduk sahaja. Maka sebab itulah ramai juga yang menjalankan bisnes secara online untuk mencari pendapatan sampingan. Sekurangnya duit sampingan boleh juga buat beli lipstik mahal 🙂

Berbalik kepada fenomena anak sakit tadi, hanya ibu sahaja yang dapat berikan terbaik pada anaknya. Bayangkan jika anak kita demam pun hati gelisah kalau terpaksa bekerja kan. Dekat ofis mesti tak senang duduk. Memang betul sebab anak-anak sangat dekat di hati kita. Apatah lagi kalau diuji dengan anak-anak sakit kronik. Tuhan sahaja yang tahu kan. Moga dijauhkan, sihatkanlah anak-anak kami. Tapi adakah bila kita sudah terduduk baru terngadah? Saya rasa kita sebagai ibu perlu memikirkan sesuatu. Memikirkan alternatif lain jika berlakunya perkara yang tidak diingini adakah kita bersedia untuk memulakan kehidupan di rumah dengan menjaga anak? Jika kita langsung tidak terfikirkan ia terjadi, takut nanti kita akan kehilangan punca. Hilang sumber pendapatan dan juga hilang sokongan moral. Sebab itulah banyak kemungkinan perlu kita fikirkan sekarang.

cara bagi anak sihat

Hati ibu ni kalau anak sakit rasanya dialah orang pertama yang berjaga malam tak tidur (yelah bersama suami soleh pastinya:) Bila berjaga malam emosi kita juga akan terganggu, dengan tak cukup tidur, memikirkan perihal anak. Mahu buat keputusan drastik mungkin keadaaan tak mampu. Kalau berhenti kerja takut nanti tak cukup menampung belanja. Banyak benda yang kita akan fikirkan. Kalau yang memang sudah bersedia dengan simpanan dan insuran yang mencukupi mungkin tak pening sangatlah memikirkan tapi jika tak bersedia agaknya apa tindakan kita kan?

Semoga anak-anak kita semua beroleh kesihatan yang baik. Saya yang pernah mengalami anak tak sihat dan sering sakit juga berperasaan yang sama. tapi alhamdulillah tiada perkara yang kronik, sehingga sekarang sihat alhamdulillah tak selalu sakit lagi. Juga rasa puas hati dapat pantau anak-anak sendiri sekarang ni. Sakit peningnya kita orang pertama yang tahu, bukannya pengasuh atau penjaga nursery…

Leave a Reply